MP PAS Titiwangsa Dr Lo' Lo' meninggal dunia'
Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo Lo' Mohd Ghazali meninggal dunia pada jam 10.13 malam ini di Hospital Selayang Hospital di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.Berita kematian Allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.
Siang tadi Dr Lo' Lo' berada dalam keadaan kritikal daripada penyakit barah yang dialaminya. Dr Lo' Lo' adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.
Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.
Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, anak Allahyarhamah, Muhd Fawwaz, memberitahu jenazah ibunya diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.
Nama Dr Lo’Lo’ agak sukar dilafazkan kerana ia berasal dari bahasa Arab yang bermakna permata mahal dari lautan. Jikalau dalam Bahasa Arab pun
sebutannya susah disebut, tetapi bertentangan dengan tuan tubuh yang bernama Lo’Lo’ beliau seorang yang mudah dan senang bergaul. Sifat ramah dan tamahnya sesekali sebagai ibu, kakak dan kawan membuatkan kita amat selesa berada dalam persahabatannya.
Lo’Lo’ tidak pernah mengecewakan permintaan rakan seperjuangannya dan selalu mendahulukan urusan parti dari kepentingan dirinya malah keluarganya sendiri. Selalu beliau bergurau dengan saya, tatkala saya membuat komplen terlalu sibuk dengan parti. Dr Lo’Lo’ menjawab awak takpalah muslimin (lelaki), saya muslimat terpaksa tinggalkan suami di rumah untuk urusan parti. Mendengar gurauan itu, ia benar-benar menyusup ke dada saya tentang kecekalan seorang sahabat dan seorang yang saya anggap kakak saya. Berita pemergiannya menyentap hati dan sanubari kerana suka duka kenangan seorang muslimat Pas yang bernama Dr Lo’Lo’ Ghazali.
Saya mula mengenali Dr Lo’Lo’ semasa dalam kepimpinan pemuda dalam beberapa program parti. Kakak saya Aida Binti Haji Yusof Rawa seorang aktivis muslimat memperkenalkan saya dengan Dr Lo’Lo, malah Dr Lo’Lo’ pernah menghadiri perhimpunan keluarga kami bagi meraikan keluarga besar Haji Yusof Rawa. Beliau diberi ruang berucap dan memuju Haji Yusof Rawa sebagai mempunyai keluarga yang besar dan anak-anaknya mampu menghimpunkan seluruh keluarga. Kehadiran Dr Lo’Lo’ dalam majlis kami hari itu cukup menyerikan dan saya masih terkenang itulah pertama kali saya mengenali beliau dengan cara dekat. Mulai itu saya menjadi rakan seperjuangannya apatah lagi semasa berada bersama dlam AJK Pas Pusat.
Banyak masa bersama Dr Lo’Lo’ ialah semasa kempen PRK. Beliau akan senantiasa aktif berkempen secara agresif dan kadang-kadang tak terdaya saya mengejarnya. Selalu beliau akan mengejek saya secara berseloroh: “Macamana ni muslimin (lelaki) dah tak larat, kami muslimat boleh jalan lagi ni” kecuali PRK Bagan Pinang, langkahnya perlahan malah dilihat tercungap-cungap keletihan.
Walaupun saya dah biasa dengan Dr Lo’Lo’ dalam siri-siri kempen, kali ini saya merasai Dr Lo’Lo’ agak keletihan. Beliau menjawab, dia tak berapa sihat, malah dia cuma mampu berada sehari dua sahaja di Bagan Pinang. Saya merasa kekok bila Dr Lo’Lo’ tidak hadir malah pernah menaliponnya, lalu dia menjawab tak berapa sihat.
Saya pernah bersama Dr Lo’Lo’ bermusafir ke luar negara dalam rombongan ahli Parlimen ke Gaza sejurus setelah Gaza di tawan Israel. Semangatnya yang cekal untuk bersama 10 orang ahli Parlimen PAS memang mengkagumkan. Sepanjang perjalanan beliau nampak bersemangat walaupun kami terpaksa beberapa hari di perbatasan Mesir dalam kesejukan. Begitu juga terpaksa melalui jalan darat ke Jordan, Syria, Dr Lo’Lo’ tetap bersemangat. Sememangnya semangat Dr Lo’Lo’ terhadap perjuangan Palestine memang kental, malah dalam perjalanan beliau membeli mafla bersimbolkan Palestine itu dan memberikannya setiap seorang. Selebihnya saya membeli 10 mafla Palestine untuk saya agih-agihkan pada sahabat-sahabat di Malaysia. Sambil dia mengemaskan saya mafla Palestine dia berseloroh lagi “tak dapat pergi Gaza pun, promosi mafla Hamas pun dah kira pahala tu”.
Ada juga peristiwa lucu ketika kami tersadai di Lapangan Terbang Damaskus gara-gara imigresen yang melambat-lambatkan kami. Dr Hatta yang terkenal kerana gurauannya yang tak kira tempat, berseloroh dengan kami sambil kami duduk di lantai dewan ketibaan. Kata Dr Hatta sambil menunjukkan tangannya: “Ini orang-orang gaji yang tak ada tuan yang nak ambil depa, yang ini (tunjuk kepada Dr Lo’Lo’) mahal sikit sebab dia putih yang ini (tunjuk kepada Dr Maria) murah sikit sebab hitam . . .” Kami tertawa dengan gelagat Dr Hatta dan Dr Lo’Lo’ menampakkan wajahnya kemerahan nak tergelak dan marah pun ada. Itulah telatah bersama Dr Lo’Lo’ dalam bermusafir ke Mesir, Syria dan Jordan.
Dalam Parlimen Dr Lo’Lo’ sebagai Ahli Dewan Rakyat Titiwangsa, sememangnya lantang dalam Parlimen khususnya dalam soal-soal menegakkan keadilan dan membela isu Kampong Baru yang hendak
diperbadankan. Saya masih ingat semasa kempen GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA, Dr Lo’Lo’ dilihat mengedar badge GMI di Parlimen termasuk kepada wakil rakyat BN. Apa lagi, marahlah mereka dalam dewan kerana sikap “persuasive” Dr Lo’Lo’ berkempen. Termasuk ketegasan Dr Lo’Lo’ ialah tentang rokok, saya masih ingat perdebatan hangat di dewan tentang penajaan syarikat tembakau dalam sukan bolasepak. Dr Lo’Lo’ bertegang leher dengan Ahli Dewan Rakyat Arau, Yb Ismail Kassim yang bertegas bahawa jika tidak ada penajaan syarikat tembakau maka sukan bolasepak khususnya akan bungkus. Dr Lo’Lo’ tetap bertegas bahawa tidak ada bezanya penajaan sukan dan bahaya merokok. Saya turut menyokong soal rokok ini di mana saya pernah mencadangkan supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa pengharaman rokok, Dr Lo’Lo’ menyokong penuh saranan ini dan telah menjadi berita yang dipetik dalam hampir semua akhbar termasuk akhbar Cina.
Semasa sesi Parlimen terakhir baru-baru ini saya terkejut kerana diminta bertukar tempat dengan Dr Lo’Lo’ yang asalnya berada di blok hadapan dan saya di blok belakang berjiranan dengan konsensus bebas. Kerana keuzuran, ADR Titiwangsa itu terpaksa berkerusi roda dan kerana itu perlu berada di blok belakang dan tempat saya menjadi pilihan menukar. Saya dan saya yakin, ramai dari kalangan wakil rakyat Pakatan dan BN akan merindui suara lantang Dr Lo’Lo’. Saya yakin pengundi beliau juga akan merindui Dr Lo’Lo’ khususnya kebajikan yang diusahakan. Dalam parti Dr Lo’Lo’ sememangnya sinonim dengan Lujnah Kebajikan dan tagline Kami Prihatin adalah usaha beliau yang menjadi slogan kebajikan Pas. Termasuk usaha Dr Lo’Lo’ ialah memberi makan kepada warga Chow Kit dan usaha itu terus dijalankan hingga hari ini. Dr Lo’Lo’ juga cuba untuk memastikan isu wanita menjadi inklusif dalam ruang ligar perjuangan Pas dan sikap keterbukaan Dr Lo’Lo’ amat disenangi oleh semua pihak khususnya dalam advokasi hak-hak wanita di Malaysia dan dunia secara umumnya.
Saya menulis ketika berita Dr Lo’Lo’ meninggal dunia tersebar luas dan saya mahu menjadi orang yang pertama mendapat penghargaan menulis tentang Serikandi ini. Mungkin saya tidak mengenali Dr Lo’Lo’ sepenuhnya tetapi saya yakin tidak ada siapa yang akan mempertikaikan jikalau saya mengatakan Dr Lo’Lo’ adalah permata dari lautan yang mahal nilainya untuk perjuangan ini. Ramai yang mempunyai nama yang hebat tapi tak ramai yang boleh hidup atas nama masing-masing. Al Fatihah buat Dr Lo’Lo’.
No comments:
Post a Comment