Showing posts with label Belasungkawa. Show all posts
Showing posts with label Belasungkawa. Show all posts

Setiap yang hidup pasti merasai mati.

 Samada kita adalah pengurus besar(MD) sebuah syarikat atau seorang pencuci longkang. Asalkan kita makhluk/manusia, kematian pasti tiba...
  Steve Job memang dikenali kerana ciptaannya (iPhone dan iMac) yang mencipta revolusi dalam dunia komputer. Dia akhirnya pun mati.

    Steve Jobs

  Kita pun akhirnya pasti akan mati. Di manakah tempat akhir kita?

Read More...

Dr Lo'lo' yang saya kenali

Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini.

NONEHidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang.

Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo'lo' Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya.

Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut 'insyaAllah'.

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM.

Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo'lo Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

NONESaya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi SAW nasihati kita: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: 'aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan jawatan mufti


Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo'lo'. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo'lo' sejak sebelum saya menjadi mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya.

NONEKali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum. Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo'lo' menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut.

Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu. Antara yang beliau sebut “Saya juga seorang manusia yang daif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.

“Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam.

“Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau.

NONELahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu.

Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Masuk Umno

Apabila saya menjadi mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin Umno.

Apabila berhenti dari jawatan mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke United Kongdom. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester.

Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

NONEApabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo'Lo' yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak.

Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya: “Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini.

anwar ibrahim and umnoApabila timbul berita saya akan masuk Umno, Dr Lo'lo' menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk Umno. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.
Cabaran dunia

Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya: “mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk Umno.

“Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk Umno? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk Umno”.

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat.

young ulama join umno 250610 02Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk Umno, Dr Lo'lo sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata: “Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk Umno, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS.

“Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk Umno”.

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

NONESaya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama Pakatan Rakyat Dr Lo'lo' kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya 'tegas'.

Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya 'Ulama atau professional jadi pemimpin'.
Hamba Allah yang baik

Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz.

NONEDr Lo'lo' meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil.

Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau: “ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.

Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah.

Kata-kata yang tidak lahir di saat-demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

NONEKemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS.

Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat.

sitting in a mosqueAntara yang beliau kata; “Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau 'pendakwah'.

Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan.

NONEKata-kata Dr Lo'lo' itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan.

Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti Perlis dan surat ini dikirimkannya kepada Malaysiakini, lewat petang semalam

Read More...

Perjalanan Terakhir Allahyarhamah Dr. Lo Lo'......apa yang aku nampak dan aku catit.....

Selepas menikmati segelas teh lebih kurang jam 9.00 pagi tadi, al-brangi mengambil keputusan untuk naik motor. Kalau naik kereta sudah tentu jalan di Dato' Keramat menuju ke Masjid Al-Akram di mana jenazah Allahyarhamah YB Dr. Lo Lo'disolatkan akan penuh sesak.

Tekaan al-brangi memang tepat ,jalan penuh sesak tapi petugas unit amal membenarkan penunggang motorsikal parkir di dalam perkarangan Masjid Al-Akram.

Kelihatan saf pimpinan PAS/Pakatan Rakyat, penyokong dan pendokong PAS/Pakatan Rakyat dari segenap lapisan masyarakat, Cina, India, tua, muda membanjiri perkarangan dan dalam Masjid Al-Akram, Dato' Keramat.

Solat jenazah Allahyarhamah YB Dr.Lo Lo' diimami oleh TG Abdul Hadi Awang Presiden PAS. Kami berhimpit dan saya nampak setiap ruang dari depan hingga belakang sehingga ketingkat atas dipenuhi oleh mereka yang menyayangi pejuang Islam dan rakyat marhaen ini......tapi Allah lagi menyayangi Allahyarhamah.

Jenazah allahyarhamah yang ditutupi dengan kain batik kelihatan diusung keluar Masjid.


Jenazah Allayarhamah dimasukkan kedalam keranda dan diusung keluar .
Orang ramai kelihatan berebut-rebut untuk turut mengusung jenazah .
Perjalanan terakhir sebutir permata kurniaan Allah yang berjuang untuk Islam, mencari keadilan kepada pengundi Parlimen Titiwangsa khasnya ke tanah perkuburan.

Perjalanan terakhir......pemergian sebutir bintang.....pejuan rakyat marhaen...ditangisi rakyat berbilang kaum bebagai peringkat.....selamat jalan wahai pejuang Islam dan rakyat marhaen...pergilah menghadap Tuhan Mu Allah yang Maha luas pintu Rahmat dan Ni'mat. AlFatihah untuk Allahyarhamah Yb Dr. Lo Lo'.
Lautan manusia termasuk Muslimat dari Sarawak seperti yang tertera divestnya turut mengiringi jenazah ke perkuburan yang terletak lebih kurang satu kilometer dari Masjid .
Para petugas sedang sibuk mengembumikan jenazah Allahyarhamah di bawah kanopi itu .

Selamat bersemadi wahai pejuang Islam semoga roh mu sentiasa dirahmati dan dicucuri mi'mat yang berlimpah ruah oleh Tuhan mu Allah SWT .
Saksikanlah, disinilah bersemadinya Allahyarhamah Dr. Lo Lo' Mohd Ghazali bekas ahli Parlimen Titiwangsa yang telah pulang
ke Rahmatullah kira jam 10.15 malam tadi 17 Julai 2011 kerana menghidap sakit kanser
di Hospital Selayang

Kelihatan TG Abdul Hadi Awang Presiden PAS keluar dari perkuburan sebaik saja selesai pengebumiaan dan doa selamat kepada Allahyarhamah .


Di antara saf pimpinan. Kelihatan Dr'Hatta masih berlinangan air mata......sedih dengan pemergian Allahyarhamah . Keliahatan juga ramai penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat yang bercucuran air mata .

Kelihatan juga YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu lengkap dengan baju Melayu dan songkok di perkuburan. Apa komen 'perkasa' ?

YB Loh Gwo Burne, Ahli Parlimen Kelana Jaya kelihatan sugul juga berada di perkuburan .

YB Ronnie Liu Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor juga ikut serta di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir .
Kelihatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang ditemuramah oleh wartawan sebaik saja selesai urusan perkebumiaan Allahyarhamah Dr. Lo Lo' .

al-brangionline:

Dari Allah kita datang.....kepadaNYA jua kita kembali. Takziah kepada seluruh kaum keluarga Allahyarhamah Dr. Lo Lo' Mohd Ghazali. Al-Fatihah.

p/s

Kita pasti kembali dari dunia yang sempit lagi sementara ini kepada keluasan akhirat yang kekal abadi. Beruntunglah mereka yang membawa amal soleh untuk menghadap TuhanNYA dan hati yang SUCI BERSIH. Berjuang di jalan Allah untuk manusia sejagat juga dikira amal soleh.Al-brangi Online

Read More...

Sekalipun Dr. Lo' Lo Telah Pergi, Roh Perjuangannya Tetap Hidup

Jenazah Mutiara Srikandi PAS selamat dikebumikan.

Jenazah ahli parlimen PAS Titiwangsa, Allahyarhamah Dr Lo Lo' Mohd Ghazali selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Datuk Keramat di ibu negara kira-kira jam 11.10 pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memimpin solat jenazah bersama-sama ribuan jemaah di Masjid al-Akram, Datuk Keramat.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil.

Hadir sama naib presiden PAS Salahuddin Ayub, Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) dan Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Yusof.

Dr Lo' Lo' meninggal dunia pada jam 10.13 malam semalam di hospital Selayang di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.

Berita kematian allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitternya atas nama keluarga.

Beliau dalam keadaan kritikal akibat penyakit barah paru-paru sejak akhir Julai 2009.

Allahyarhamah adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Ahli parlimen itu meninggalkan seorang suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan.

Lebih 2,000 orang ramai termasuk penyokong PAS dan penduduk parlimen Titiwangsa mengunjungi dan mengiringi beliau ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, dewan solat Masjid Al-Akram sesak dengan orang ramai yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo' Lo'.

Dr Lo' Lo' aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi. -mk

Ulasan GB

Tuhan lebih menyayangimu, namun kami yakin sekalipun engkau telah pergi meninggalkan kami, roh perjuanganmu tetap sentiasa bersama kita....

Allahummagh firlaha, warhamha wa'afihi wafu'anha..


Read More...

Perginya seorang srikandi islam. Dr Lo' Lo' Ghazali

MP PAS Titiwangsa Dr Lo' Lo' meninggal dunia'




Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo Lo' Mohd Ghazali meninggal dunia pada jam 10.13 malam ini di Hospital Selayang Hospital di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.Berita kematian Allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Siang tadi Dr Lo' Lo' berada dalam keadaan kritikal daripada penyakit barah yang dialaminya. Dr Lo' Lo' adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, anak Allahyarhamah, Muhd Fawwaz, memberitahu jenazah ibunya diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.



    Nama Dr Lo’Lo’ agak sukar dilafazkan kerana ia berasal dari bahasa Arab yang bermakna permata mahal dari lautan. Jikalau dalam Bahasa Arab pun 
sebuhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjiBmggkOsAlmF_bPHMZTh-vsMUcGhkw8H1k4_rHW6YLDe8X6jBQFOg9-02Iz32pZUfixmaWX5TmS-kUtfzfI03KyW4vpA9U0gHFyNkz6okIlSzh-uhOx6T6RDJDerSE8GqNGiIHNgvjYUh/s400/lo.jpgtannya susah disebut, tetapi bertentangan dengan tuan tubuh yang bernama Lo’Lo’ beliau seorang yang mudah dan senang bergaul. Sifat ramah dan tamahnya sesekali sebagai ibu, kakak dan kawan  membuatkan kita amat selesa berada dalam persahabatannya.


    Lo’Lo’ tidak pernah mengecewakan permintaan rakan seperjuangannya dan selalu mendahulukan urusan parti dari kepentingan dirinya malah keluarganya sendiri. Selalu beliau bergurau dengan saya, tatkala saya membuat komplen terlalu sibuk dengan parti. Dr Lo’Lo’ menjawab awak takpalah muslimin (lelaki), saya muslimat terpaksa tinggalkan suami di rumah untuk urusan parti. Mendengar gurauan itu, ia benar-benar menyusup ke dada saya tentang kecekalan seorang sahabat dan seorang yang saya anggap kakak saya. Berita pemergiannya menyentap hati dan sanubari kerana suka duka kenangan seorang muslimat Pas yang bernama Dr Lo’Lo’ Ghazali.
    Saya mula mengenali Dr Lo’Lo’ semasa dalam kepimpinan pemuda dalam beberapa program parti. Kakak saya Aida Binti Haji Yusof Rawa seorang aktivis muslimat memperkenalkan saya dengan Dr Lo’Lo, malah Dr Lo’Lo’ pernah menghadiri perhimpunan keluarga kami bagi meraikan keluarga besar Haji Yusof Rawa. Beliau diberi ruang berucap dan memuju Haji Yusof Rawa sebagai mempunyai keluarga yang besar dan anak-anaknya mampu menghimpunkan seluruh keluarga. Kehadiran Dr Lo’Lo’ dalam majlis kami hari itu cukup menyerikan dan saya masih terkenang itulah pertama kali saya mengenali beliau dengan cara dekat. Mulai itu saya menjadi rakan seperjuangannya apatah lagi semasa berada bersama dlam AJK Pas Pusat.
    Banyak masa bersama Dr Lo’Lo’ ialah semasa kempen PRK. Beliau akan senantiasa aktif berkempen secara agresif dan kadang-kadang tak terdaya saya mengejarnya. Selalu beliau akan mengejek saya secara berseloroh: “Macamana ni muslimin (lelaki) dah tak larat, kami muslimat boleh jalan lagi ni” kecuali PRK Bagan Pinang, langkahnya perlahan malah dilihat tercungap-cungap keletihan.
     Walaupun saya dah biasa dengan Dr Lo’Lo’ dalam siri-siri kempen, kali ini saya merasai Dr Lo’Lo’ agak keletihan. Beliau menjawab, dia tak berapa sihat, malah dia cuma mampu berada sehari dua sahaja di Bagan Pinang. Saya merasa kekok bila Dr Lo’Lo’ tidak hadir malah pernah menaliponnya, lalu dia menjawab tak berapa sihat.
      Saya pernah bersama Dr Lo’Lo’ bermusafir ke luar negara dalam rombongan ahli Parlimen ke Gaza sejurus setelah Gaza di tawan Israel. Semangatnya yang cekal untuk bersama 10 orang ahli Parlimen PAS memang mengkagumkan. Sepanjang perjalanan beliau nampak bersemangat walaupun kami terpaksa beberapa hari di perbatasan Mesir dalam kesejukan. Begitu juga terpaksa melalui jalan darat ke Jordan, Syria, Dr Lo’Lo’ tetap bersemangat. Sememangnya semangat Dr Lo’Lo’ terhadap perjuangan Palestine memang kental, malah dalam perjalanan beliau membeli mafla bersimbolkan Palestine itu dan memberikannya setiap seorang. Selebihnya saya membeli 10 mafla Palestine untuk saya agih-agihkan pada sahabat-sahabat di Malaysia. Sambil dia mengemaskan saya mafla Palestine dia berseloroh lagi “tak dapat pergi Gaza pun, promosi mafla Hamas pun dah kira pahala tu”.
       Ada juga peristiwa lucu ketika kami tersadai di Lapangan Terbang Damaskus gara-gara imigresen yang melambat-lambatkan kami. Dr Hatta yang terkenal kerana gurauannya yang tak kira tempat, berseloroh dengan kami sambil kami duduk di lantai dewan ketibaan. Kata Dr Hatta sambil menunjukkan tangannya: “Ini orang-orang gaji yang tak ada tuan yang nak ambil depa, yang ini (tunjuk kepada Dr Lo’Lo’) mahal sikit sebab dia putih yang ini (tunjuk kepada Dr Maria) murah sikit sebab hitam . . .” Kami tertawa dengan gelagat Dr Hatta dan Dr Lo’Lo’ menampakkan wajahnya kemerahan nak tergelak dan marah pun ada. Itulah telatah bersama Dr Lo’Lo’ dalam bermusafir ke Mesir, Syria dan Jordan.
    Dalam Parlimen Dr Lo’Lo’ sebagai Ahli Dewan Rakyat Titiwangsa, sememangnya lantang dalam Parlimen khususnya dalam soal-soal menegakkan keadilan dan membela isu Kampong Baru yang hendak
diperbadankan. Saya masih ingat semasa kempen GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA, Dr Lo’Lo’ dilihat mengedar badge GMI di Parlimen termasuk kepada wakil rakyat BN. Apa lagi, marahlah mereka dalam dewan kerana sikap “persuasive” Dr Lo’Lo’ berkempen. Termasuk ketegasan Dr Lo’Lo’ ialah tentang rokok, saya masih ingat perdebatan hangat di dewan tentang penajaan syarikat tembakau dalam sukan bolasepak. Dr Lo’Lo’ bertegang leher dengan Ahli Dewan Rakyat Arau, Yb Ismail Kassim yang bertegas bahawa jika tidak ada penajaan syarikat tembakau maka sukan bolasepak khususnya akan bungkus. Dr Lo’Lo’ tetap bertegas bahawa tidak ada bezanya penajaan sukan dan bahaya merokok. Saya turut menyokong soal rokok ini di mana saya pernah mencadangkan supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa pengharaman rokok, Dr Lo’Lo’ menyokong penuh saranan ini dan telah menjadi berita yang dipetik dalam hampir semua akhbar termasuk akhbar Cina.
    Semasa sesi Parlimen terakhir baru-baru ini saya terkejut kerana diminta bertukar tempat dengan Dr Lo’Lo’ yang asalnya berada di blok hadapan dan saya di blok belakang berjiranan dengan konsensus bebas. Kerana keuzuran, ADR Titiwangsa itu terpaksa berkerusi roda dan kerana itu perlu berada di blok belakang dan tempat saya menjadi pilihan menukar. Saya dan saya yakin, ramai dari kalangan wakil rakyat Pakatan dan BN akan merindui suara lantang Dr Lo’Lo’. Saya yakin pengundi beliau juga akan merindui Dr Lo’Lo’ khususnya kebajikan yang diusahakan. Dalam parti Dr Lo’Lo’ sememangnya sinonim dengan Lujnah Kebajikan dan tagline Kami Prihatin adalah usaha beliau yang menjadi slogan kebajikan Pas. Termasuk usaha Dr Lo’Lo’ ialah memberi makan kepada warga Chow Kit dan usaha itu terus dijalankan hingga hari ini. Dr Lo’Lo’ juga cuba untuk memastikan isu wanita menjadi inklusif dalam ruang ligar perjuangan Pas dan sikap keterbukaan Dr Lo’Lo’ amat disenangi oleh semua pihak khususnya dalam advokasi hak-hak wanita di Malaysia dan dunia secara umumnya.
    Saya menulis ketika berita Dr Lo’Lo’ meninggal dunia tersebar luas dan saya mahu menjadi orang yang pertama mendapat penghargaan menulis tentang Serikandi ini. Mungkin saya tidak mengenali Dr Lo’Lo’ sepenuhnya tetapi saya yakin tidak ada siapa yang akan mempertikaikan jikalau saya mengatakan Dr Lo’Lo’ adalah permata dari lautan yang mahal nilainya untuk perjuangan ini. Ramai yang mempunyai nama yang hebat tapi tak ramai yang boleh hidup atas nama masing-masing. Al Fatihah buat Dr Lo’Lo’.

Read More...