Isunya ada dua.
Ustaz itu sendiri. Dirinya adalah pemegang kunci kepada kawalan diri dan kehidupan.
Keduanya adalah persekitaran.
Keputusan pemeriksaan perubatan semenjak setahun dua ini tidak menggalakkan. Malah saya sendiri sentiasa letih tidak bermaya.
Saya sudah ‘menceburkan diri’ di dalam ‘kerjaya Kuliah Maghrib’ ini semenjak di usia 18 tahun, iaitu selama saya berada di Malaysia. Di Jordan keadaannya berbeza. Di Turki tiada ‘budaya ‘Kuliah Maghrib’ untuk dihadiri. Di UK dan Ireland, sudah saya ceritakan.
Di Malaysia ini saya tersepit. Dalam serba kepayahan memegang kunci kehidupan sendiri, saya terbelenggu oleh satu corak kehidupan yang seperti melanggar Sunnah dan Fitrah.
Ketika kereta berduyun pulang ke rumah bersama mentari senja, saya pula mula bergerak menongkah kesesakan lalu lintas untuk ‘bekerja shif malam’ menuju Kuliah Maghrib. Ada yang sekitar kurang 10km dari rumah, tidak sedikit yang sejauh 20 atau 30km sebagai rutin tetap, selain dari semasa ke semasa bergerak ke luar Lembah Kelang dengan jalan darat dan udara.
Selepas kuliah, ada jamuan makan. Teh mesti manis-manis. Mesti kaw-kaw punya! Masakan, kurang sedikit meja pengantin, ada kalanya. Puas menepis, dan sehingga kini saya banyak berjaya menepis atau menjamah sedikit sahaja ‘demi menjaga hati tuan rumah’ dan penganjur.
“Kami masak semenjak pagi, ustaz!” kata sesetengahnya.
Sayu!
Usai kuliah dan ceramah, memandu sepi membelah sepi, tiba di rumah sudah detik 12 malam. Sering juga lajak ke jam 1 atau 2 malah 3 pagi. Sungguh memenatkan.
Badan melekit-lekit, tekak dahaga. Perut berkeroncong kerana sebelum Maghrib tidak sempat makan, selepas ceramah pula ‘malu-malu kucing’ menolak hidangan. Jika kuat semangat, tidur berlapar. Jika lemah semangat, perlu juga menjamah sesuatu.
Itulah rutin.
Semasa melabuhkan diri dan cuba memejamkan mata, “eh, ceramah pagi esok! Powerpoint belum siap!”
Sejam lagi ditambah masa berjaga.
Qiamullail dalam kepayahan. Solat Subuh bermujahadah menolak keletihan.
Di manakah kesudahannya?
Kini, sebiji epal pun sudah melonjakkan kandungan gula di dalam diri tanda insulin sudah tidak berfungsi dengan baik. Hormon Endorphin sudah tidak dihasilkan secara neutral, hingga stress dan rasa sakit tidak dapat dilawan dengan sempurna. Sentiasa tertekan. Tambah-tambah pula dengan pemandu Malaysia yang sopan santun itu. Di sampingnya pula, Cortisol semakin bermasalah dan menghuru-harakan sistem di dalam diri.
“Dakwah tidak mampu digalas oleh orang-orang yang manja” terdengar petikan kisah pejuang-pejuang silam.
Ia mendatangkan sejuk kaki tatkala ingin mencari ruang rehat dan riadah.
Berdakwah di waktu malam, mengorbankan tidur, membiarkan makan minum jadi tidak menentu, sesuaikah ia dengan Sunnah dan Fitrah?
Nabi dulu macam inikah?
Saya cuba mengatur semula dan semua.
Kisah telus dilema seorang pendakwah yang obes, diabetik, keletihan dan hodoh diri untuk dijadikan teladan, bisa mengundang ejekan dengan pengakuan ini, tetapi saya yakin ada ramai di luar sana, yang terbelenggu oleh kondisi yang sama.
Ustaz-ustaz gemuk, menggemukkan dan terus digemukkan, termasuk oleh peminat-peminat setia mereka!
Bagaimana?
Saya sedang mengikuti sebuah program penurunan berat badan yang membabitkan pembetulan hormon. Pengambilan kalori terhad kepada 500 sehari. 40 hari mujahadah, demi diri dan dakwah yang memerlukan da’i bernafas panjang!
Dan Sunnah Isyak… masih jauh daripada sebuah kepastian.
Cerita penuh di blog Saiful Islam
Komen Saya
Kesihatan diri juga perlu dijaga. Takde masalah jika kita ingatkan penganjur. Sediakan kopi radix sebagai minuman. Makanan cukuplah sepinggan bihun. Dan lain-lain. Insya Allah depa akan faham.
Biarlah dikatakan kita cerewet(cam contoh tadi pun cerewat?). Kesihatan diri lebih penting dijaga. Agar dapat terus berdakwah.
"Kita berdoa(juga berusaha) panjang umur bukanlah kerana nak tongkat dunia. Tetapi untuk berdakwah"
Rupanya Projek LCS Lewat Siap Sejak 2016.
2 years ago
No comments:
Post a Comment